BARISAN kejurulatihan Shandong Taishan berada dalam keadaan resah berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kelima Peringkat Liga, Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 kerana tidak menemui titik kelemahan skuad Harimau Selatan.
Perkara itu diakui sendiri oleh pembantu jurulatih, Tang Tian yang turut menyatakan bahawa barisan pemain import JDT dijangka akan mendatangkan masalah buat mereka walaupun turun beraksi di laman sendiri.
Shandong Taishan berada dalam keadaan motivasi yang kurang baik selepas tewas kepada Shanghai Port dalam aksi final Piala FA sekaligus terlepas peluang menjulang piala dan slot dalam Liga Juara-Juara AFC Elite musim hadapan.
“Sebenarnya, sebelum final Piala FA, kami telah membuat persediaan untuk tiga perlawanan secara serentak, iaitu final Piala FA dan dua perlawanan ACL Elite menentang JDT dan Kawasaki Frontale, terutamanya dalam aspek pengurusan pemain.
“Semua orang tahu JDT adalah pasukan yang dominan di Malaysia dan kami cuba mencari rekod kekalahan mereka untuk dijadikan rujukan, tetapi tidak menemui apa-apa. JDT adalah pasukan dengan barisan pemain bertaraf antarabangsa yang terdiri daripada pemain import, pemain tempatan, dan pemain naturalisasi yang mana mereka adalah cabaran besar buat kami.
“Selepas perlawanan final Piala FA China, fokus utama kami sekarang ialah membantu semua pemain untuk segera bangkit daripada kekalahan. Kami berharap seluruh pasukan dapat bersatu hati dan memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Sementara itu, pemain Shandong Taishan, Xie Wenlong pula menyatakan mereka kini sedikit keletihan selepas mengharungi aksi final namun berjanji akan memberikan aksi terbaik apabilan berhadapan JDT.
“Pasukan baru sahaja pulang dari Wenzhou dan ramai di antara kami masih keletihan. Namun, semua pemain sedang bekerja keras untuk pulih dan bersedia menghadapi perlawanan. Kami berharap dapat memberikan persembahan yang menarik untuk semua,” jelasnya.
Selepas empat perlawanan, Shandong Taishan kini ditangga kesembilan dari 12 pasukan dengan empat mata dan tiga mata sangat penting untuk diperolehi dari perlawanan ini bagi memastikan mereka mampu bersaing merebut lapan tempat teratas untuk ke peringkat 16 terbaik.