MENJELANG aksi Liga Super ketiga antara Selangor FC melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium MBPJ, ternyata Gergasi Merah berada dalam momentum terbaik setelah berjaya meratah Kuching City FC pada aksi kedua Liga Super dengan jaringan besar 5-0.

Berbekalkan prestasi semasa skuad kendalian Tan Cheng Hoe ditambah pula dengan rata-rata pemain tidak mengalami sebarang isu kecederaan, ia adalah sesuatu yang sangat positif untuk Selangor FC.

Sedikit berbeza apabila perlawanan kali ini diadakan pada sebelah petang, namun faktor cuaca dan masa perlawanan berbeza bukanlah sesuatu yang bakal mempengaruhi corak persembahan mereka disebabkan pemain sudah terbiasa dengan menjalani sesi latihan juga pada waktu petang.

Antara pemain tonggak adalah Mohamad Faisal Abdul Halim, diikuti Ayron Del Valle, Rauf Salifu, Brendan Gan, termasuk Noor Al-Rawabdeh yang dilihat sangat berkesan sehingga berjaya menjadi man of the match perlawanan tempoh hari menentang Kuching City FC.

Manakala, Sri Pahang pula bukanlah calang-calang pasukan. Dengan adanya kredibiliti pemain legenda Singapura, Fandi Ahmad sebagai pengendali, sudah tentu Fandi memiliki ramuan terbaik untuk menggagalkan hasrat Selangor FC.

Segar dengan kemenangan 4-1 menewaskan Kelantan sebelum ini, skuad Tok Gajah pastinya enggan menoleh ke belakang sebaliknya ingin meneruskan kemenangan dalam perlawanan pada petang Ahad.

Bersandarkan head to head kelebihan berpihak kepada Selangor FC dengan tiga kemenangan berjaya direkodkan Gergasi Merah dalam lima pertemuan menentang Sri Pahang FC manakala hanya satu kemenangan 2-0 berjaya diraih Sri Pahang FC pada aksi 27 Julai 2022.

Sri Pahang juga dilihat cukup berkesan dengan kehadiran beberapa pemain kebangsaan seperti David Rowley, Azam Azih dan Sergio Aguero manakala pemain import, Kpah Sherman, Stefano Brundo dan Kevin Ingreso jelas memiliki kelebihan masing-masing.

Bersandarkan prestasi semasa, dijangka perlawanan Selangor FC berdepan Sri Pahang FC menjanjikan suatu aksi menarik dengan momentum kemenangan bergaya yang dijelmakan dalam perlawanan sebelum ini.