PENYERANG Thailand, Adisak Kraison mendedahkan sebab mengapa dia memilih Terengganu FC sebagai destinasi baharunya yang juga adalah kelab antarabangsa pertama dalam kariernya sejak membuat penampilan pertama pada 2010.

Dia juga mahu menyesuaikan diri dengan teman sepasukan selain mempelajari Bahasa Inggeris bagi memastikan dia dapat berkomunikasi lebih baik seterusnya dapat memberikan aksi yang terbaik.

Pemenang tiga kejuaraan Piala AFF itu juga meletakkan sasaran peribadi untuk membantu Terengganu FC dengan menjaringkan seberapa banyak gol dalam penampilan sulungnya dalam Liga Malaysia.

“Saya memilih Terengganu musim ini selepas mendapat tawaran dan saya ada menonton di YouTube yang Terengganu mempunyai banyak penyokong dan juga adalah pasukan yang baik dalam Liga Super Malaysia.

“Sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik buat Terengganu dan berharap ianya akan menjadi musim yang baik buat saya. Sekarang saya perlu belajar Bahasa Inggeris dan memahami rakan sepasukan. Berikan saya tiga bulan untuk menjadi lebih baik.

“Liga Super Malaysia tidak mudah dan sangat sukar buat saya dan saya cuba lakukan sebaik mungkin setiap hari dan sebagai penyerang saya cuba jaringkan seberapa banyak gol yang mampu untuk membantu pasukan,” katanya yang ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur City.

Ketika aksi persahabatan pramusim di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad, Adisak dimasukkan pada babak kedua dan mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokong skuad Penyu yang sememangnya gembira dengan kehadiran pemain berasal dari Buriram berusia 31 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Adisak Kraisorn harap dapat sambutan mesra di Malaysia

Terengganu FC tidak dapat mencatat kemenangan selepas hanya seri 0-0 dengan skuad warga kota tetapi Adisak sudah memberikan bayangan apa yang mampu dia lakukan kepada skuad kendalian Tomislav Steinbruckner musim ini.