PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo hadir memberikan semangat kepada skuad Garuda Muda selepas gagal beraksi di Piala Dunia B-20 2023 kerana telah dilucutkan hak penganjuran oleh Fifa.

Memetik kenyataan Jokowi dari Instagram peribadi, beliau menyapa para pemain skuad kebangsaan yang sedang berlatih di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK).

Jokowi yang mengenakan jaket merah disertai bersama jurulatih Indonesia Shin Tae-yong.

Masih kelihatan raut-raut kesedihan dan kekecewaan kerana Indonesia disingkirkan oleh Fifa statusnya sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20.

“Saya datang ke sini untuk memberikan semangat kepada pasukan bola sepak B-20 agar mereka tidak larut terus dalam kekecewaan dan kesedihan,” kata Jokowi.

Jokowi juga menjelaskan bahawa pada masa depan Indonesia ingin mempunyai pasukan yang betul-betul bersedia menghadapi acara-acara sukan selepas ini.

“Dan tadi saya sampaikan bahawa untuk akan datang, kita ingin mempunyai skuad yang kita bangunkan sejak awal secara terus menerus, sehingga kita boleh mendapatkan pasukan bola sepak yang betul-betul lengkap.

“Ini kerana pasukan B-20 muda dan masih ada peluang untuk bermain di Sukan SEA, Sukan Asia, Piala AFF, dan Olimpik 2024.

“Saya rasa peluang itu masih panjang, jadi saya harap jangan patah semangat,” katanya lagi.

Seperti dilaporkan sebelumnya, Jokowi sudah merancang mengundang pasukan B-20 ke Istana Negara, sehari setelah Indonesia diputuskan tak menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 2023.

Namun pelan itu berubah, Jokowi sendiri yang hadir terus untuk menemui Hokky Caraka serta rakan sepasukan di padang Stadium Utama Gelora Bung Karno (SU GBK) pada Sabtu.