PETINJU profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi memulakan musim 2023 dengan langkah positif untuk memburu gelaran Super Middleweight apabila menumbangkan petinju Thailand, Nakhon Muensa, di 225 Joo Chiat Rd, Singapura malam ini.

Dia yang diberi julukan ‘Golden Boy’ bertekad menjadikan 2023 sebagai tahun kebangkitan selepas tewas di tangan petinju India, Shiva Thakran bagi merebut gelaran Majlis Tinju Dunia (WBC) Continental Asia, September lalu.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat illahi berkat doa ibu bapa keluarga serta sokongan dari semua saya peroleh kemenangan setelah berehat hampir tiga bulan akibat kecederaan.

“Hadiah kemenangan untuk keluarga dan hari ulangtahun ke-34 dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia dan Johor.

“Terima kasih kepada jurulatih dan sahabat yang membantu, memberi sokongan untuk kejayaan ini. Masa untuk berehat seketika dan saya akan kembali untuk perlawanan seterusnya. Stay tuned road to 2023,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Fight of The Future: Mampukah Adli Hafidz pertahan rekod tanpa kalah?

Kemenangan sebentar tadi membolehkan dirinya memperbaharui rekod kepada 11-1-0.

Adli Hafid yang berasal dari Johor Bahru pernah mendedahkan bahawa tahun ini dirinya mampu meraih lima kemenangan.