HANYA atlet yang benar-benar cergas dan bebas kecederaan akan berada dalam kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand, tegas Ketua Kontinjen (CDM), Nurul Huda Abdullah.
Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat bagi memastikan kontinjen negara ke Bangkok nanti terdiri daripada atlet yang benar-benar bersedia secara fizikal dan mental untuk membawa pulang kejayaan.

“Kami tidak akan membawa mana-mana atlet yang mengalami kecederaan, walau sekecil mana sekalipun, kami mahu pasukan yang cergas, kuat dan sihat sepenuhnya,” katanya, ketika lawatan ke kem latihan bowling kebangsaan di Sunway Megalanes.
Nurul Huda menjelaskan, setiap atlet diwajibkan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum berlepas, termasuk mereka yang tidak berada di bawah program kebangsaan bagi memastikan tahap kecergasan berada pada paras optimum.
“Bagi atlet yang masih dalam proses pemulihan, mereka wajib melengkapkan sijil kecergasan sebelum dibenarkan bertanding,” katanya tiada lagi alasan kecederaan boleh digunakan atlet jika gagal menepati sasaran.

Beliau turut menambah, pendekatan itu bukan bertujuan menyulitkan tetapi memastikan Malaysia tampil dengan kontinjen paling kompetitif dan berdaya saing di temasya dwitahunan itu.
“Kita ke Sukan SEA bukan untuk bercuti, tetapi untuk menunjukkan kesungguhan dan membawa pulang pingat yang membanggakan negara,” katanya dengan nada tegas.
Menurutnya, semangat pasukan juga menjadi asas kekuatan kontinjen negara kerana kejayaan dan kekecewaan akan dikongsi bersama sebagai satu pasukan yang bersatu hati di Bangkok nanti.