Kredit Gambar: MSN Malaysia

Atlet angkat berat negara, Siti Aqilah Farhana Draman mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara +86 kilogram (kg) wanita pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Lebih manis, atlet berusia 20 tahun itu muncul sebagai atlet angkat berat wanita pertama Malaysia yang meraih pingat perak di temasya berprestij berkenaan selepas melakukan jumlah angkatan keseluruhan 253kg hasil 113kg dalam acara snatch dan 140kg bagi clean and jerk.

Pencapaian itu turut menyaksikan anak kelahiran Kuala Nerus, Terengganu berkenaan memperbaharui rekod peribadi terbaiknya sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori tersebut.

Pingat emas dimenangi wakil England, Emily Campbell yang mencipta rekod baharu temasya menerusi jumlah angkatan 278kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Kanada, Etta Mae Love dengan 250kg.

Mengulas kejayaannya, Aqilah mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi sebelum pertandingan kerana hanya mahu memberikan tumpuan kepada setiap angkatan tanpa memikirkan pencabar lain.

“Saya memang tidak menjangka mampu meraih pingat perak. Kalau ada sasaran sekalipun, mungkin sekadar gangsa. Saya hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dan tidak memikirkan kedudukan lawan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan beraksi seperti menjalani sesi latihan biasa banyak membantunya mengawal tekanan, selain berpegang kepada pesanan jurulatih supaya memberikan aksi terbaik kerana rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk.

Kejayaan itu turut memperbaiki pencapaian terbaik angkat berat wanita Malaysia di Sukan Komanwel yang sebelum ini menyaksikan Raihan Yusoff memenangi gangsa kategori 53kg pada edisi New Delhi 2010, sebelum Irene Jane Henry turut menyumbang gangsa dalam kategori 48kg di Glasgow 2026.

Aqilah mendedikasikan kejayaan bersejarah itu kepada kedua ibu bapanya, barisan jurulatih di Terengganu serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang banyak membantunya sepanjang tempoh persiapan ke temasya tersebut.

Malah, beliau sudah memasang impian lebih besar apabila menyasarkan untuk menukar pingat perak kepada emas pada edisi Sukan Komanwel akan datang, selain berharap kejayaannya mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet muda negara untuk terus bekerja keras mengejar impian di pentas antarabangsa.