Chelsea FC mengesahkan barisan pemain yang akan dibawa ke Malaysia bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi terakhir jelajah pramusim APAC di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 Ogos ini.
Antara nama yang mencuri perhatian dalam senarai itu ialah Cole Palmer, João Pedro, Estêvão Willian, Liam Delap, Jamie Gittens, Levi Colwill, Wesley Fofana dan Romeo Lavia yang dijangka menjadi tarikan utama buat penyokong The Blues di Malaysia.
Pengumuman itu hadir selepas Chelsea memulakan kempen pramusim mereka di Australia dengan kemenangan 6-4 ke atas Western Sydney Wanderers. Dalam aksi tersebut, João Pedro mencuri tumpuan apabila meledak hatrik, manakala Jamie Gittens, Dário Essugo dan Dastan Satpayev turut menemui sasaran.
Bagi JDT, pertemuan itu menjadi medan terbaik untuk menguji kemampuan menentang salah sebuah gergasi Eropah. Ia juga memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan menyaksikan Chelsea beraksi di Stadium Sultan Ibrahim buat kali pertama, selain kunjungan pertama kelab London itu ke Johor.
Ketua Jurulatih Chelsea, Xabi Alonso berkata pasukannya teruja untuk kembali ke Malaysia dan mengakui sokongan penyokong The Blues di negara ini sentiasa luar biasa.
“Saya tahu bahawa di Malaysia, Chelsea mempunyai penyokong yang sangat ramai dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa. Kami tidak sabar untuk berkunjung ke Johor. Ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa dapat melihat sokongan dan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Chelsea,” katanya.
Perlawanan di Johor itu melengkapkan siri jelajah pramusim APAC Chelsea yang turut melibatkan aksi di Sydney, Hong Kong dan Jakarta sebelum skuad kendalian Xabi Alonso kembali ke England untuk membuat persiapan menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris.
Aksi antara Chelsea dan JDT dijadual berlangsung pada jam 8 malam, Ahad, 9 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim. Tiket perlawanan dijual pada harga bermula RM154 sehingga RM1,254 mengikut kategori tempat duduk dan boleh didapati menerusi Tickethotline.