PASUKAN Uzbekistan mencipta sejarah luar biasa di bumi Taif apabila menjuarai Piala Asia B-17 AFC 2025 selepas menewaskan tuan rumah, Arab Saudi 2-0 meskipun beraksi dengan hanya sembilan pemain sejak babak pertama lagi.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Bandar Sukan King Fahd, Uzbekistan tidak hanya berdepan tekanan daripada ribuan penyokong lawan, tetapi juga situasi getir apabila kehilangan dua pemain utama akibat kad merah sebelum separuh masa tamat.

Namun, semangat juang luar biasa ditunjukkan barisan muda Uzbekistan yang enggan tunduk kepada tekanan. Selepas babak pertama berakhir 0-0, mereka berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51 apabila pengadil memberikan sepakan penalti susulan insiden handball oleh Yazeed Al Dosari yang disahkan menerusi semakan VAR.

Muhammad Khakimov tenang menyempurnakan sepakan untuk meletakkan Uzbekistan di depan.

Walaupun Arab Saudi menggandakan asakan dengan kelebihan jumlah pemain, kekebalan benteng pertahanan Uzbekistan dan aksi cemerlang penjaga gol, Nematulloh Rustamjonov, menyekat segala usaha tuan rumah untuk menyamakan kedudukan.

Kejutan lebih besar hadir pada minit ke-70 apabila serangan balas pantas Uzbekistan disudahkan dengan bergaya oleh Sadriddin Khasanov, yang menewaskan pertahanan terakhir dan penjaga gol Arab Saudi untuk menggandakan kelebihan.

Arab Saudi yang sebelum ini dilihat pilihan untuk muncul juara di laman sendiri terpaksa akur dengan keputusan penuh dramatik ini, manakala Uzbekistan merangkul kejuaraan kedua dalam sejarah kejohanan selepas kali pertama melakukannya pada tahun 2012 — tetapi kali ini dengan penuh bergaya, walau hanya bersembilan.

PIX: AFC