KETUA jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca Cilleros menyifatkan kemenangan dramatik ke atas Sabah sebagai bukti bahawa kerja keras dan kualiti pasukannya akhirnya membuahkan hasil — meskipun mengakui ia datang dengan penuh debaran hingga ke detik terakhir.
Dalam aksi penuh mendebarkan di SUKPA pada Jumaat lalu, PRFC bangkit daripada ketinggalan 4-5 dengan hanya satu minit berbaki untuk menjaringkan dua gol pantas hasil strategi powerplay, sekaligus melakar kemenangan 6-5 yang cukup menggamatkan stadium.
“Perlawanan bermula sangat baik buat kami dengan dua gol awal, dan kami juga ada empat peluang satu lawan satu yang sepatutnya dimanfaatkan. Tetapi Sabah kembali menyamakan kedudukan hasil gol pantulan dan kesilapan pertahanan kami, jadi kami masuk rehat dengan kedudukan 3-2 — sedangkan kami sebenarnya layak dapat lebih,” ujar Fonseca dalam nada puas.
Ketika ditanya sama ada beliau percaya PRFC mampu membalikkan keputusan walaupun masa hampir tamat, Fonseca jujur mengakui ia bukan sesuatu yang mudah: “Saya percayakan kerja keras pasukan, tapi ia sangat sukar. Kami jaringkan dua gol pada minit terakhir — satu ketika baki satu minit, dan satu lagi ketika tinggal 30 saat. Namun kami sebenarnya mencipta banyak peluang sepanjang lima minit bermain dengan penjaga gol-pemain (powerplay), dan kami boleh menang lebih awal.”
Fonseca turut mengakui bahawa beliau tidak menjangka Sabah akan memberikan saingan sehebat itu. “Kami tahu mereka lawan yang sukar dengan dua pemain profesional yang sangat kuat fizikal, tapi saya tak jangka mereka akan buat kami menderita sebegitu. Namun, kami menang kerana kualiti — dan pada akhirnya juga, fizikal kami mengatasi mereka.”
Kemenangan dramatik ini mengekalkan momentum PRFC dalam saingan MPFL dan menjadi bukti bahawa mereka bukan sahaja kuat dari segi taktikal, tetapi juga berjiwa besar apabila diuji hingga ke detik terakhir.