PASUKAN senior lelaki kebangsaan akan berlepas ke Perth esok bagi mengharungi siri Jelajah Australia dan pulang ke tanah air pada 3 Mei depan dengan enam perlawanan persahabatan keseluruhan telah diatur buat pasukan yang akan menggalas cabaran di FIH Piala Negara-Negara di Malaysia pada Jun ini.

Siri Jelajah Australia merupakan tugasan antarabangsa pertama buat The Speedy Tigers pada tahun ini dan ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan ia adalah peluang terbaik untuk pemain-pemainnya mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Siri jelajah ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pemain-pemain yang dipilih kerana dengan intensiti perlawanan yang tinggi serta berdepan lawan yang berkualiti seperti Australia, ini adalah peluang terbaik mereka menunjukkan kebolehan yang dimiliki.

“Pasukan juga mahu pemain-pemain muda yang menyertai siri jelajah ini menggunakan pengalaman berharga ini dengan sebaik mungkin bagi terus memperbaiki diri kerana peluang bermain dengan pasukan berkualiti tinggi tidak akan selalu dimiliki,” katanya.

Dalam masa sama, Sarjit mahu memberi penekanan kepada aspek taktikal terutama bagaimana pasukannya mampu bermain dibawah tekanan dan kekal konsisten.

“Kami mahu memberi tumpuan kepada pelaksanaan taktikal pasukan bermain di bawah tekanan dan konsisten dalam situasi tempo tinggi serta dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang berbeza.

Sarjit Singh mahu anak buahnya gunakan Jelajah Australia sebagai peluang membaiki diri serta mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Kami akan menilai bagaimana para pemain membuat keputusan, terutama bergerak sebagai satu unit ketika bertahan dan menyusun pergerakan dalam menyerang. Selain itu, kami berharap dapat membina keserasian yang lebih kukuh dalam skuad dan menguji pelbagai kombinasi juga strategi dalam suasana yang kompetitif,”  ujarnya.

“Siri Jelajah ini memainkan peranan penting dalam persiapan kami untuk Piala Negara-Negara. Bersaing dengan pasukan peringkat tertinggi seperti Australia menawarkan pendedahan perlawanan yang tidak ternilai dan membantu kami mengenal pasti perkara yang memerlukan penambahbaikan menjelang kejohanan besar.

“Ia juga merupakan peluang untuk kami memuktamadkan skuad terbaik kami, menilai tahap kecergasan dan menerapkan struktur taktikal yang kami ingin bawa ke Piala Negara-Negara nanti,” katanya.

Skuad negara akan turun menentang Western Australia pada aksi persahabatan pertama pada 23 April (Rabu), disusuli aksi kedua berdepan pasukan yang sama pada 24 April, Khamis. Baki empat perlawanan persahabatan akan berlangsung pada 28 dan 29 April serta 1 dan 2 Mei bertemu Australia sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

The Speedy Tigers mempunyai beberapa kejohanan besar pada tahun ini termasuk mengharungi kempen Piala Negara-Negara bermula 15 hingga 21 Jun di Kuala Lumpur serta kejohanan Piala Asia pada 27 Ogos hingga 7 September di India.

Selain itu, skuad hoki lelaki kebangsaan turut menyertai dua kejohanan lain iaitu Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 November serta Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025.