KETUA Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, menyifatkan Indonesia sepatutnya mampu melangkah ke peringkat separuh akhir berdasarkan komposisi jurulatih dan pemain yang dimiliki dalam Piala AFF 2024.

Menurut Erick, sasaran minimum bagi pasukan bimbingan Shin Tae Yong adalah untuk mara ke separuh akhir, walaupun sebahagian besar pasukan terdiri daripada pemain muda. Namun, hakikatnya skuad Garuda telah tersingkir di peringkat kumpulan.

Pasukan kendalian Shin Tae Yong gagal mara ke separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada Filipina di Stadium Manahan, Solo, pada Sabtu. Kekalahan tersebut memastikan Filipina mara ke peringkat empat terbaik bersama Vietnam dalam Piala AFF 2024.

“Kalau ditanya, saya mahukan kemenangan ke atas Myanmar, Laos, dan Filipina. Kalau kalah dengan Vietnam, itu wajar kerana pasukan ini masih muda. Jika kita sudah berikan yang terbaik sehingga separuh akhir dan kalah, tidak mengapa kerana kita sudah berjuang sehabis baik.

“Dari awal, saya sudah menyatakan bahawa dalam Piala AFF ini, sasaran kita adalah memberikan yang terbaik. Kalau bercakap tentang memberikan yang terbaik, dengan jurulatih dan pemain yang ada, kita sepatutnya sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir. Oleh itu, PSSI sudah pasti akan menjalankan penilaian,” ujar Erick dalam kenyataan rasmi PSSI.

Erick turut menegaskan bahawa penilaian akan dilakukan terhadap prestasi Shin Tae Yong dalam Piala AFF. Beliau yang juga menjawat jawatan Menteri BUMN menyatakan bahawa penilaian adalah satu amalan biasa dalam dunia sukan.

“Pasti akan ada penilaian. Kalau coach Nova (Arianto) dinilai, kenapa coach Shin tidak? Dalam kontraknya memang ada kewajipan untuk dinilai. Semua jurulatih wajib melalui proses ini

“Saya tidak boleh menilai berdasarkan satu perlawanan sahaja. Kita perlu menilai keseluruhan. Penilaian ini penting supaya tidak timbul tuding-menuding kerana kejayaan sesebuah pasukan bergantung pada program yang baik, jurulatih yang cemerlang, dan pemain yang berkualiti ,” jelas Erick.

FOTO : ASEAN FOOTBALL