PEMAIN skuad Bawah 23 (B-23) negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili melihat sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk ke perlawanan akhir Kejuaraan AFF B-23 adalah satu sasaran yang realistik dan boleh dicapai.
Tonggak pertahanan itu percaya walaupun persiapan boleh dikatakan singkat, tetapi setiap pemain akan menggunakan peluang yang diberi ini dengan sebaik mungkin.
“Sudah tentu setiap kejohanan yang kita sertai kita akan cuba untuk menjadi juara. Bagi saya sasaran ke perlawanan akhir adalah realistik kerana kita akan cuba berikan yang terbaik walaupun persiapan agak singkat, tetapi ini satu cabaran kepada kita,” katanya kepada media ketika sesi latihan rasmi pasukan.

Ubaidullah yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super bersama Terengganu FC juga mahu menjadikan kejohanan ini sebagai platform buat dia menunjukkan kemampuannya kepada pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner untuk terpilih dalam skuad ke Piala AFC bulan hadapan.
“Saya mahu tunjukkan prestasi saya kepada kepada jurulatih Terengganu dan jika ada rezeki saya akan dipilih bermain dalam saingan Piala AFC. Semalam apabila lihat rakan-rakan sebaya dapat bermain dengan skuad utama pun saya rasa iri hati, dan harap akan mendapat peluang lagi selepas ini,” jelasnya.
Dia juga tidak mahu menganggap lawan Malaysia di peringkat kumpulan, Indonesia sebagai pasukan pilihan kerana baginya bola itu bulat dan apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak.

“Peluang untuk semua pasukan sama sahaja kerana dalam bola sepak bola itu bulat. Tidak semestinya Indonesia sebagai juara Sukan Sea mereka akan layak ke final dan kita juga akan berikan cabaran yang baik.”