“PATUT pergi jauh, separuh akhir ataupun akhir.”

Ringkas jawapan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, apabila ditanya mengenai undian skuad bola sepak bawah (B-23) Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B Piala AFF B-23 2023 bersama Indonesia dan Timor Leste.

Menurutnya, sasaran separuh akhir dan akhir itu dibuat berlandaskan persiapan yang sudah dilakukan pasukan selama ini.

“AFF B-23 ini selalunya adalah persiapan buat pasukan B-23, selepas tamat kejohanan itu pemain akan terus melakukan persiapan untuk pusingan kelayakan Asia (AFC) untuk mendapatkan slot ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik.

“Berdasarkan persiapan pasukan dan undian dalam kumpulan itu, pasukan patut pergi jauhlah, pergi semi atau ke final,” kata Hamidin.

Menurutnya, pertemuan dengan jurulatih E.Elavarasan sudah dilakukan dan jurulatih itu maklum, perlu memastikan pasukan terbabit (B-23) mara lebih jauh.

“Tapi perlu diingat, AFF B-23 ini tidak ada dalam kalendar Fifa, banyak pemain tidak dapat bersama pasukan, jadi dia (Elavarasan) mungkin akan membawa pasukan B-22 yang tidak terlibat dalam saingan Liga Super atau Piala Malaysia Ketika ini.”

Beliau berkata, selepas kejohanan itu, skuad B-23 negara akan ke Bangkok, Thailand, bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia AFC Qatar 2024.

“Di pusingan kelayakan ini, dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke pusingan akhir tahun hadapan dan kejohanan ini lebih mustahak kerana tersenarai dalam kalendar Fifa.

“Kita juga sudah menghubungi Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine dan mereka mendapat pelepasan. Kali ini kita akan dapat full force untuk kejohanan ini (Kelayakan Piala Asia AFC Qatar 2024),” kata Hamidin.

Luqman Hakim ketika ini beraksi dengan kelab Njardvik FC di Iceland, manakala Nooa Laine pula beraksi bersama kelab Seinajoen Jalkapallokerho (SJK).

Malaysia diundi dalam kumpulan H saingan kelayakan Piala Asia 2024, yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, September depan.

Skuad B-23 negara akan berdepan saingan dari tuan rumah Thailand, Filipina dan Bangladesh, dengan dua pasukan teratas dari 11 kumpulan akan layak secara automatik untuk aksi di Qatar.