KAPTEN Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Danish Darus akui tidak terkesan dengan aksi tanpa penonton ketika perlawanan akhir peringkat kumpulan bertemu Indonesia pada Ahad.
Jelasnya, dia tidak melihat insiden yang mengorbankan nyawa di Kanjuruhan, Malang itu sebagai halangan untuk mereka terus mempersembahkan aksi terbaik dalam perlawanan malam tadi.
“Mengenai sokongan penonton semua itu, kami tidak kisah. Walaupun mereka menyokong, kami main seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Dalam pada itu, dia sempat menzahirkan penghargaan kepada penyokong Malaysia kerana terus menyokong skuad kebangsaan dari awal hingga hujung permainan.
“Saya hendak beritahu kepada penyokong yang hadir, saya ucap terima kasih kerana sokong kami dari awal sehingga habis,” jelasnya.
Mengulas aksi menentang Guam yang hanya berkesudahan seri 1-1, Danish tampil menjelaskan ianya adalah strategi ketua jurulatih, Osmera Omaro apabila ingin melihat kombinasi pemain sebelum menggunakan kesebelasan terbaik dalam aksi menentang UAE dan Indonesia.
“Lawan dengan Guam itu, jurulatih meletakkan strategi kombinasi pemain untuk memberi peluang kepada pemain mengeluarkan segala kudrat yang ada menentang UAE,” ujarnya.