RAFAEL Nadal akhirnya menutup tirai sebuah karier luar biasa dengan hati yang lapang. Legenda tenis Sepanyol itu yang pernah menjulang 22 gelaran Grand Slam, termasuk rekod 14 kali menawan Terbuka Perancis, mengakui dia kini menikmati fasa baru kehidupannya – jauh dari gelanggang dan tekanan sukan profesional.

“Saya tak terlalu rindu tenis, kerana saya rasa saya dah beri semuanya,” kata Nadal dalam satu majlis penghormatan penuh emosi di Roland Garros sempena hari pembukaan kejohanan tahun ini.

Nadal, 38, yang bersara pada November lalu, mengakui tubuhnya tidak lagi mampu bersaing. Namun jauh dari kekesalan, dia menyambut persaraannya dengan ketenangan dan rasa syukur terhadap pencapaiannya selama ini.

“Saya datang dengan ketenangan saya tak mampu lagi berada di gelanggang. Tubuh saya tidak mengizinkan. Itu saja. Saya dah buat segala yang mampu untuk miliki karier terbaik,” katanya.

Sejak menggantung raket, Nadal tidak lagi menyentuh gelanggang – dan lebih menumpukan masa kepada akademi tenis, yayasan amal dan pelbagai usaha niaga. Walaupun semangat bersaingnya sempat ‘hilang’, terutama ketika bermain golf, Nadal kini kembali menemui semangat itu sedikit demi sedikit.

“Saya tak tahu kenapa, tapi bila saya main golf… saya tak peduli pun kalau kalah, menang. Ia rasa yang sangat asing. Tapi sekarang semangat bersaing saya dah kembali,” ujar Nadal yang bakal kembali ke gelanggang bukan sebagai pemain profesional, tetapi mungkin dalam acara pertunjukan.

Dengan aura luar biasa dan rekod sukar ditandingi di Paris, penampilan istimewa Nadal di Roland Garros bukan sekadar simbol penghormatan – tetapi peringatan bahawa legenda sebenar tidak akan pernah dilupakan, meskipun mereka telah bersara.