PENYERANG Harimau Malaya, Romel Morales menzahirkan rasa syukur dan bangga selepas berjaya meledak dua gol dalam kemenangan bergaya 5-1 ke atas Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Selepas gagal menemui sentuhan jaringan ketika aksi pertama di Vientiane, Morales akhirnya menebus kekecewaan itu dengan dua gol penting yang mengesahkan kemenangan besar buat skuad kendalian Peter Clamovski. Lebih manis, beliau menzifatkan kejayaan itu sebagai bukti semangat sepasukan dan karakter pemain yang tidak mudah mengalah.
“Yang penting bagi penyerang ialah untuk terus fokus. Kami hidup dengan gol, dan bagi saya, tugas utama ialah pastikan pasukan menang. Walaupun separuh masa pertama agak sukar, kami dengar arahan jurulatih dan kekal percaya pada cara permainan kami,” katanya.

Tambahnya, keazaman dan kesabaran menjadi kunci kebangkitan pasukan selepas ketinggalan pada awal perlawanan sebelum segalanya berubah dengan lima jaringan berturut-turut. “Kami tunjuk karakter sebenar pada babak kedua. Saya tahu peluang akan datang dan saya cuma perlu bersedia. Gol ini amat penting untuk keyakinan saya dan pasukan,” ujar pemain JDT itu.
Morales turut menyifatkan kemenangan ini buat tujuh pemain warisan yang kini berdepan isu kelayakan bersama FIFA serta menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas sokongan berterusan kepada skuad negara. “Kemenangan ini untuk mereka juga. Mereka layak berada di sini, tapi nasib tidak menyebelahi. TMJ juga sentiasa di belakang kami, memberi semangat dan kepercayaan,” katanya.
Mengulas tentang gandingannya di jentera serangan bersama Arif Aiman dan Faisal Halim, Morales berkata kerjasama itu menjadi kunci kepada rentak permainan yang lebih lancar dan berkesan. “Saya sudah biasa dengan Arif di JDT, saya tahu apa yang dia boleh buat. Dengan Faisal pun sangat mudah kerana dia pemain berkualiti tinggi. Kami saling memahami dan itu yang buat pergerakan kami lebih tajam,” jelasnya.

Morales percaya kemenangan besar ini bukan sekadar tiga mata, tetapi simbol kebangkitan moral buat seluruh pasukan dan penyokong yang terus setia memberi sokongan biarpun pasukan masih menanti keputusan rasmi kes di FIFA.
“Sekarang masa terbaik untuk seluruh negara bersatu. Kita tunjuk semangat dan terus fokus untuk berikan keputusan positif buat Malaysia,” tambahnya penuh semangat.