FOTO:FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memperkukuh struktur organisasi pasukan kebangsaan apabila melantik Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, langkah penting dalam revolusi bola sepak Malaysia.

Dikenali sebagai salah seorang saintis sukan terkemuka di Australia, Dr. Craig membawa pendekatan holistik dan inovatif dalam pengurusan prestasi atlet, yang terbukti berkesan dalam kariernya sebelum ini bersama pasukan elit seperti Sydney FC, Western Sydney Wanderers, dan Socceroos.

Beliau turut membantu Socceroos menjuarai Piala Asia 2015 serta membawa Iran ke separuh akhir Piala Asia 2019.

Dr. Craig Duncan dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Harimau Malaya. FOTO: FAM

Dengan pengalaman lebih 15 tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Performance Intelligence Agency dan peranan pentingnya dalam organisasi seperti Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA), Dr. Craig diharapkan dapat membawa dimensi baharu kepada kecergasan, pemulihan, pemakanan, dan psikologi sukan pasukan kebangsaan Malaysia.

Pelantikannya melengkapkan siri perubahan besar dalam struktur kepimpinan skuad Harimau Malaya, selepas pengumuman Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan, Nafuzi Zain untuk skuad B-23, dan Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Kebangsaan.

Dr. Craig telah menetapkan visi untuk membangunkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia bagi pasukan Malaysia.

Dr. Craig Duncan dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Harimau Malaya. FOTO: FAM

Beliau bercadang mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua peringkat bola sepak kebangsaan, dengan matlamat meningkatkan prestasi pemain, mempercepatkan pemulihan kecederaan, dan membina daya tahan melalui teknologi terkini serta program pendidikan.

Bermula Januari 2025, Dr. Craig akan beroperasi secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya, dengan misi untuk menjadikan Harimau Malaya antara pasukan paling bersedia di pentas antarabangsa, sambil memastikan budaya prestasi tinggi terus berkembang dalam bola sepak Malaysia.