YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Gala sempena perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Monaco 2023 di Sporting de Monaco pada Ahad.

Menurut Facebook Istana Negara, keberangkatan baginda turut diiringi Puteri Charlene of Monaco dengan kehadiran sama paduka-paduka anakanda Seri Paduka.

Terdahulu pada sebelah petang, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat bersama HSH Putera Albert II dan Puteri Charlene menyaksikan perlumbaan F1 Grand Prix Monaco 2023 yang berlangsung di Monaco F1 Main Circuit.

Seri Paduka Baginda telah berangkat tiba di Monaco pada 26 Mei 2023 lepas bagi lawatan khas selama lima hari atas persilaan HSH Putera Albert II.

Pada 27 Mei 2023, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat bertemu dengan HSH Putera Albert II di Palace of Monaco.