Temasya Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026 akan tetap berlangsung seperti dijadualkan dari 15 hingga 24 Ogos ini meskipun berdepan cabaran krisis tenaga global dan tekanan ekonomi semasa.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohammad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin serta EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Menurut Taufiq, keputusan untuk meneruskan temasya tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk tahap persiapan pihak penganjur dan atlet negeri.
“Keputusan ini dibuat selepas menilai persiapan yang telah dilaksanakan oleh semua pihak terlibat, khususnya Kerajaan Negeri Selangor sebagai tuan rumah serta atlet yang sudah menjalani latihan.
“Penangguhan SUKMA juga berisiko memberi implikasi kewangan lebih besar kepada penganjur,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bersetuju untuk melaksanakan temasya berkenaan dalam skala lebih kecil sebagai langkah penjimatan kos.
Namun, pendekatan itu tidak akan menjejaskan jumlah sukan yang dipertandingkan mahupun kualiti penganjuran temasya.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi mengelakkan beban kewangan yang lebih besar sekiranya SUKMA ditangguhkan.
Jawatankuasa itu akan terus mengadakan perbincangan bagi memastikan temasya dapat dilaksanakan dengan lancar, selain memberi penekanan kepada kecekapan perbelanjaan serta kawalan kos sepanjang penganjuran.