PERSEKUTUAN Hoki Asia (AHF) dan syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia, AirAsia menyambung jalinan kerjasama dengan fokus kini tertumpu kepada pembangunan pemain hoki remaja di seluruh Asia.

Menerusi kerjasama ini, AHF dan AirAsia akan bekerjasama meningkatkan standard hoki, pembangunan akar umbi dan memberikan peluang berharga untuk atlet yang meningkat naik di seluruh Asia.

Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk meluaskan lagi jangkauan hoki kepada pemain-pemain muda dan pasukan baharu dengan menggunakan laluan AirAsia yang meluas serta jenama yang dikenali di seluruh benua ini.

Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (IHF), Datuk Tayyab Ikram nyata gembira dengan lanjutan kerjasama ini dan berharap lebih banyak pasukan dapat diketengahkan dalam pelbagai kejohanan dengan adanya penerbangan rasmi kerana banyak pasukan sebelum ini tidak mampu dari segi logistik.

“Kami gembira dengan kerjasama ini kerana sebelum ini ada pasukan yang tidak mampu untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan akibat kekangan jangkauan dan logistik tetapi dengan kehadiran AirAsia perkara itu berubah dan ada negara yang sudah menjadi pasukan ‘regular’ dalam semua kejohanan yang kami anjurkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Brand Co, Rudy Khaw berkata dengan laluan mereka yang meluas, lebih ramai penyokong-penyokong hoki dari seluruh Asia boleh menyaksikan kejohanan hoki bertaraf antarabangsa dan selain membantu anak-anak muda mengejar impian mereka menjadi pemain hoki di peringkat antarabangsa.

“Seperti yang kami lakukan dengan bola sepak dan badminton sebelum ini, penyokong-penyokong hoki boleh menjangkakan harga tiket penerbangan yang lebih rendah untuk mereka sama-sama menyaksikan kejohanan antarabangsa di venue pertandingan,” jelasnya.

Menerusi kerjasama empat tahun itu, AHF dan AirAsia akan sama-sama menjalankan projek AHF-AirAsia Youth Development Projects di rantau Asia Tenggara. Inisiatif ini akan memfokuskan kepada aktiviti pembangunan remaja, pertandingan, kursus pendidikan hoki, bengkel serta agihan peralatan untuk membantu pembangunan atlet muda.

Turut akan diperkenalkan adalah AirAsia Youth Leadership Award, yang akan diberikan di AirAsia Youth Leadership Forum dengan fokus untuk mengenalpasti atlet berusia bawah 18 tahun yang bukan sahaja berbakat dalam hoki tetapi juga dalam kapasiti mereka untuk menginspirasi, mengetuai dan memberikan penglibatan kepada komuniti sekaligus meraikan impak atlet melebihi sukan itu sendiri.