KETUA jurulatih baharu The Speedy Tigers, Brendon Carolan meletakkan sasaran tinggi untuk membawa pasukan hoki negara mara ke pentas final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai langkah memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pengendali dari Afrika Selatan itu menegaskan bahawa temasya Sukan Asia menjadi keutamaan utama pasukan kerana kejayaan mara ke final akan membuka laluan automatik ke Olimpik.
Menurutnya, segala perancangan serta persiapan pasukan kini disusun dengan teliti bagi memastikan prestasi terbaik dapat dipamerkan di Jepun meskipun berdepan jadual padat sepanjang musim.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kejohanan Piala Dunia Hoki 2026 di Belgium tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi medan penting untuk menilai kekuatan sebenar pasukan.

Pengendali The Speedy Tigers, Brendan Carolan ditemui ketika sidang media di Pejabat KHM hari ini. (Sumber Gambar: MHC)
“Piala Dunia serta Piala Negara-Negara adalah platform terbaik untuk menilai keupayaan sebenar pasukan sebelum cabaran sebenar bermula di Sukan Asia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Carolan percaya peluang berdepan pasukan elit dunia dalam kejohanan tersebut akan membantu meningkatkan keyakinan pemain selain memperkukuh aspek taktikal pasukan.
Katanya, pengalaman menentang pasukan terbaik dunia akan memberi gambaran jelas mengenai tahap permainan yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Malaysia yang kini menghuni ranking ke-15 dunia diundi dalam kumpulan mencabar bersama Belgium, Jerman dan Perancis pada saingan Piala Dunia Hoki 2026, sekali gus menjanjikan cabaran sengit buat Speedy Tigers.
Situasi itu dilihat sebagai ujian penting buat skuad negara dalam usaha mempersiapkan diri menghadapi cabaran sebenar di Sukan Asia nanti.