PERMULAAN buruk pada babak pertama serta ketumpulan penyudah menjadi antara punca Kedah Darul Aman (KDA) tumpas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC), Jumaat malam.

Ketua jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak, begitupun tidak mahu meletakkan kesalahan di bahu pemainnya terutama jentera serangan diketuai Ronald Ngah Wanja.

Jurulatih kelahiran Singapura itu berkata, KDA mempamerkan corak lebih tersusun pada babak kedua dan keputusan mungkin memihak mereka jika peluang terhidang disudahkan dengan baik.

“Kami gagal beraksi baik pada awal permainan dan melepaskan gol yang sama seperti minggu lalu. Malah pergerakan Kpah Sherman dalam kotak penalti juga tidak dikawal.

“KDA jauh lebih bagus berbanding TFC selepas rehat dengan penguasaan bola dan peluang yang dimiliki. Namun dalam bola sepak jika ianya disia-siakan, kami pasti dihukum.

Aidil Sharin Sahak

“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pemain, sejujurnya lapan pemain kurang sihat dan bukan mudah beraksi di tempat lawan selepas pulang dari Bali, Indonesia,” jelas Aidil.

Dalam aksi malam tadi, KDA tewas hasil jaringan Sherman pada minit ke-13 dan Manuel Ott (m-57) sebelum Azammuddin Akil menjaringkan gol saguhati dalam masa kecederaan.

Menurut Aidil, KDA tiada pilihan selain menjadikan Sarawak United mangsa untuk bangkit dalam aksi berikutnya selain kembali mengharapkan kelebihan di tempat sendiri.

“Permainan pasti berbeza beraksi di depan penyokong sendiri dan saya harap pemain mengambil kesempatan untuk kembali ke landasan kemenangan,” tambahnya.