PENGENDALI Terengganu, Nafuzi Zain, menyifatkan belum tiba masanya untuk mengetuai skuad Bawah 23 Tahun Negara selepas dia dikaitkan sebagai pengganti Brad Maloney.
Menurut jurulatih kelahiran Kelantan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga belum membuat sebarang tawaran bagi jawatan ketua jurulatih pasukan Harimau Muda itu.
Namun di sudut hati Nafuzi mengakui bergelar jurulatih negara merupakan impian untuk mana-mana jurulatih atau pemain dan akan melihat peluang itu apabila tiba masa yang sesuai.
“InshaAllah, apabila tiba waktunya nanti tetapi fokus saya ketika ini hanya untuk pemain-pemain dan barisan jurulatih Sang Penyu selagi khidmat diperlukan TFC.

Aksi kemenangan 2-1 ketika bertemu Kedah Darul Aman FC pada Jumaat malam. Foto: MFL
“Semua pemain, jurulatih mengimpikan untuk bersama pasukan kebangsaan namun belum tiba masanya dan belum ada tawaran. I love this team so much.
“Apa yang saya akan lakukan adalah mempersiapkan TFC bersama penolong jurulatih yang lain,” katanya ketika ditemui selepas bertemu Kedah Darul Aman (KDA), Jumaat malam.
Pada 13 Julai lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melepaskan Maloney daripada mengetuai skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara susulan prestasi di Sukan SEA dan Piala Asia B-23.
Selain Nafuzi, turut dicanang sebagai calon menggantikan jurulatih Australia itu adalah penolong jurulatih skuad senior, Pau Marti dan E. Elavarasan selain jurulatih Korea Selatan, Kim Hak-Bum.