RIAK ceria jelas tergambar di wajah pemain naturalisasi negara, Endrick Dos Santos yang bercerita mengenai sokongan keluarganya yang akan memakai jersi Harimau Malaya setiap kali dia bermain meskipun mereka berasal dari Brazil.

Endrick yang mendapat kerakyatan awal tahun ini sudah beraksi lima kali bersama Harimau Malaya dan setiap kali mahu turun bermain, ayah dan ibu saya akan menelefon untuk memberi kata-kata semangat.

“Ayah dan ibu saya menelefon saya satu hari sebelum perlawanan dan mereka akan meluangkan masa berbual bersama-sama terutama bapa saya yang gembira kerana dia juga seorang pemain bola sepak.

“Semua dalam keluarga saya gembira termasuk bayi saya yang akan menyarung jersi Harimau Malaya setiap kali saya bermain dan ini membuatkan saya gembira berada di sini,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi skuad kebangsaan.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu juga sedar akan sejarah Pestabola Merdeka yang kembali diadakan semula selepas 10 tahun dan dia mahu memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang untuk bermain oleh Kim Pan-gon.

“Saya sedar tentang sejarah kejohanan ini dan saya sentiasa mahu bermain untuk Malaysia dan mahu lakukan yang terbaik dengan memenangi trofi ini di hadapan para penyokong yang kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia dijadualkan bertemu India pada 13 Oktober 2023 meskipun mungkin berlaku pertukaran jadual kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu perkhabaran dari pasukan Palestin yang mungkin tidak dapat hadir kerana peperangan yang melanda di rantau bergolak itu.