SKUAD Malayan Tigress B-20 menutup kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 dengan kemenangan bermakna 2-0 ke atas Guam malam tadi, sekali gus menebus maruah selepas kekalahan besar kepada Jepun sebelum ini.

Ketua jurulatih, Cameron Ng, nyata berbangga dengan anak buahnya yang kekal berpegang pada perancangan taktikal walaupun berdepan sedikit tekanan di babak pertama apabila gagal memanfaatkan deretan peluang.

“Saya sangat bangga dengan pemain. Mereka kekal dengan pelan permainan dan akhirnya berjaya mendapatkan dua gol. Di separuh masa pertama, kami agak kecewa kerana tidak menjaringkan gol, tapi mereka tidak hilang fokus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Cameron menegaskan motivasi tidak pernah menjadi masalah dalam kem ini, malah kekalahan 0-16 kepada Jepun langsung tidak mematahkan semangat pemain.

“Saya tidak perlu memotivasikan mereka. Mereka memang mahu menang dan mahu buktikan bola sepak wanita Malaysia semakin baik. Mereka mahu membuat Malaysia bangga, walaupun kita sedar tahap permainan kita. Tapi kekurangan itu bukan kerana tiada usaha atau keinginan,” jelasnya.

Pemain terbaik perlawanan, Kasih Carlmila, turut menjadi watak penting dalam kemenangan ini dengan dua jaringan darinya.

Kemenangan ini bukan sekadar tiga mata, tetapi simbol keteguhan mental dan keinginan Malayan Tigress untuk terus melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa.