KEMENANGAN besar di luar padang menjadi milik bekas jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim apabila Mahkamah Perusahaan memerintahkan kelab itu membayar pampasan RM1.04 juta selepas didapati memecatnya secara tidak adil.
Pengerusi Mahkamah Perusahaan, D. Paramalingam memutuskan jumlah itu adalah bersamaan baki 16 bulan kontrak dua tahun Teong Kim yang diputuskan secara mengejut pada 24 Mei 2023, hanya lapan bulan selepas beliau mengambil alih tugas. Dengan gaji bulanan mencecah RM65,000, keputusan mahkamah itu sekaligus menjadi tamparan buat Perak FC yang sudah pun berdepan masalah kewangan sejak sebelum pelantikan beliau.
Paramalingam turut menegaskan bahawa tindakan Perak FC memecat jurulatih berusia 61 tahun itu atas alasan prestasi buruk adalah “terlalu awal dan tidak berasas” memandangkan tuduhan salah laku yang dilemparkan kepadanya juga tidak cukup serius untuk dijadikan alasan penamatan kontrak.
Teong Kim, yang pernah mengumpul 60 kaps bersama skuad kebangsaan antara 1982 hingga 1996, memiliki rekod pengalaman kejurulatihan lebih dua dekad. Beliau pernah menghabiskan 12 tahun bersama akademi remaja Bayern Munich dari 2000 hingga 2012, sebelum kembali ke tanah air sebagai Ketua Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan membimbing skuad B-16 kebangsaan.
Keputusan ini bukan sahaja memulihkan maruah Teong Kim sebagai jurulatih, malah menjadi satu lagi kisah bagaimana tuntutan hak kontrak dalam bola sepak profesional mampu memberi kesan besar kepada kedua-dua pihak – di dalam dan di luar padang.