PEMAIN sayap Harimau Malaya, Akhyar Rashid, yang menjadi mangsa samun dan pukul, dijangka kembali turun menjalani latihan di padang, minggu depan.
Perkembangan itu dikongsi pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, yang meletak harapan yang tinggi untuk Akhyar, 25, kembali memperkuatkan pasukan.
Menurut Steinbruckner, pemain tersebut menunjukkan tanda-tanda positif dan beransur pulih selepas menerima enam jahitan susulan insiden malang itu.
“Akhyar masih diberi cuti beberapa hari lagi untuk diberi ruang berehat sekaligus terpaksa diketepikan untuk aksi pembukaan Liga Super bertemu Perak, Sabtu ini.

Tomislav Steinbruckner
“Saya fikir dia akan kembali menyertai sesi latihan, minggu depan, selepas pertemuan menentang Perak dan memperkuatkan pasukan untuk perlawanan kedua liga.
“Dia masih merasai kesakitan akibat jahitan di bahagian kepala dan sedang berehat bagi mengembalikan semangat serta emosinya,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Akhyar antara muka baharu skuad Penyu musim ini dan menyertai TFC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama Safawi Rasid di bahagian serangan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Hamidin harap Akhyar sempat pulih penuh Jun ini
Akhyar kena enam jahitan, dua suspek ‘hoodie gelap’ guna besi boleh laras
Dua pemain itu dijangka dalam perancangan jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyztan dan Taiwan, pada Jun.