PEMAIN sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, terpaksa menerima empat jahitan di bahagian kepala dan dua di bahagian kaki setelah disamun dua lelaki tidak dikenali, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, kedua-dua suspek juga menggunakan besi boleh laras sebagai senjata dalam kejadian bermotifkan samun itu.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu keluar dari kenderaannya di parkir sebuah kondominium selepas pulang dari latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ujarnya, mangsa ternampak dua lelaki keluar dari kenderaan lain berpakaian ‘hoodie’ gelap, bertopeng dan bersenjatakan besi boleh laras telah mengekorinya sehingga ke pintu lobi lif.
“Salah seorang suspek bertindak memukul mangsa di bahagian kepala menyebabkannya terjatuh sebelum mangsa terus dipukul di bahagian badan dan kaki.
“Mangsa kemudian berlari ke hujung bangunan itu manakala kedua-dua suspek mengambil beg ‘clutch’ milik mangsa di atas lantai dan melarikan diri.
“Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah telah membuat panggilan video kepada kakaknya yang berada di kondominium tersebut,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM4,800 selepas beg tangan dan dompet miliknya dilarikan suspek termasuk kad pengenalan dan lesen memandu.
Sebuah telefon bimbit turut diambil suspek namun berjaya ditemui semula di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Menurut Azli, hasil pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), mangsa mengalami kecederaan luka dan menerima enam jahitan di bahagian kepala dan tapak kaki kiri.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” tambah beliau.