PENGURUS Liverpool, Arne Slot, tampil mempertahankan Trent Alexander-Arnold yang menjadi sasaran kritikan selepas persembahannya dalam perlawanan seri 2-2 menentang Manchester United, pada Ahad.
Walaupun keputusan tersebut mengekalkan Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris dengan 46 mata, ia dirasakan seperti “dua mata yang hilang” buat pasukan The Reds.
Trent menerima kritikan tajam daripada bekas kapten United, Roy Keane, yang menyifatkan pertahanan Alexander-Arnold sebagai lemah.
Keane tidak teragak-agak menyamakan tahap permainan bek kanan Liverpool itu dengan “permainan budak sekolah” ketika berhadapan dengan Bruno Fernandes dan Diogo Dalot, dua pemain utama skuad Portugal.
“Kita selalu bercakap tentang betapa hebatnya Trent dalam menyerang, tetapi hari ini cara dia bertahan, seperti budak sekolah.
“Ada cakap-cakap tentang dia ke Real Madrid, tetapi dengan cara dia bertahan, dia patut ke Tranmere Rovers,” kata Keane dalam siaran Sky Sports.
Mengulas mengenai kritikan itu, Slot menyatakan keyakinannya bahawa Alexander-Arnold tidak terjejas oleh spekulasi perpindahan ke Real Madrid atau isu kontraknya yang bakal tamat pada akhir musim ini.
“Saya tidak percaya perkara-perkara seperti itu mempengaruhi pemain.
“Trent bermain menentang Bruno Fernandes dan Diogo Dalot, dua pemain hebat dari Portugal. Itu yang mempengaruhi dia. Kualiti lawan yang dia hadapi adalah luar biasa,” kata Slot.
Slot turut memuji kekuatan skuad Manchester United, menyatakan bahawa walaupun Liverpool memiliki pemain seperti Diogo Jota yang tidak mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Portugal, ia menunjukkan betapa mendalamnya kualiti pasukan lawan.
Liverpool kekal enam mata di hadapan Arsenal dengan satu perlawanan dalam tangan, namun Slot mengakui bahawa keputusan seri ini dirasakan seperti kekalahan, sama seperti kekalahan 1-0 mereka kepada Nottingham Forest pada September lalu.
“Ia perlawanan yang sukar, sama seperti perlawanan menentang Forest di mana pasukan lawan bermain dengan gaya bertahan rendah dan tidak mengambil risiko ketika membina serangan. Ia sukar untuk kami hadapi,” jelas pengurus asal Belanda itu.
Walaupun Alexander-Arnold menjadi topik hangat, Liverpool masih meneruskan rentak cemerlang mereka di puncak liga.
Cody Gakpo dan Mohamed Salah memastikan The Reds kekal di landasan untuk merebut gelaran Liga Perdana musim ini. Namun, dengan cabaran yang semakin meningkat, Slot perlu memastikan pemainnya kembali fokus dan konsisten dalam baki musim yang getir ini.