KELAB Ukraine, Shakhtar Donetsk akan menderma 25 juta euro (RM107.9 juta) daripada yuran perpindahan pemainnya Mykhailo Mudryk yang menyertai Chelsea kepada mangsa peperangan dan serangan Rusia.
Perpindahan Mudryk itu bernilai 100 juta euro (RM467.50 juta) dengan bayaran permulaan 70 juta euro (RM327.25 juta) manakala baki 30 juta euro (RM140.25 juta) berkaitan prestasi dan penambahan lain.
Presidennya, Rinat Akhmetov memaklumkan peruntukan 25 juta euro (RM107.9 juta) daripada yuran itu untuk membantu tentera, barisan pertahanan dan keluarga mereka,
“Wang itu akan digunakan untuk pelbagai situasi seperti membeli ubat-ubatan sehinggalah kepada anggota badan palsu dan sokongan psikologi yang bersesuaian.
Akhmetov berkata wang itu akan membantu projek bernama ‘Heart of Azovstal,’ bertujuan “membantu pembela Mariupol dan keluarga askar yang terkorban”.
Ukraine telah diserang oleh Rusia pada tahun 2022.
Mudryk, 22, menyertai The Blues dengan perjanjian selama lapan setengah tahun, tetapi kelihatan bersedia untuk menandatangani kontrak dengan seteru Liga Perdana Inggeris, Arsenal sebelum dia melengkapkan perpindahan ke Stamford Bridge.
Mudryk adalah pembelian kelima Chelsea pada jendela perpindahan Januari berikutan ketibaan Joao Felix secara pinjaman daripada Atletico Madrid, ditambah dengan pembelian tetap Benoit Badiashile, David Datro Fofana dan Andrey Santos.
Sehingga musim ini Mudryk hanya menjaringkan dua gol dalam 47 penampilan untuk tiga kelab berbeza di Ukraine, tetapi dia meningkatkan kedudukannya dalam Liga Juara-Juara musim ini, menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan untuk Shakhtar.
Dia boleh membuat penampilan sulungnya untuk The Blues dalam Liga Perdana menentang Liverpool, yang menduduki satu kedudukan di atas Chelsea di tangga ke-10, di Anfield pada hari Sabtu ini.