JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dilihat masih relevan untuk terus menyumbang pingat kepada Malaysia khususnya di Sukan Komanwel dan Asia, tahun ini.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata berdasarkan prestasi terkini, pelumba yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu masih berada pada tahap kompetitif.
Menurutnya, pengalaman luas serta keupayaan Azizulhasni untuk terus bersaing dengan pelumba elit dunia menjadikan beliau masih aset penting kepada skuad berbasikal trek negara.
“Kemenangan Azizulhasni dalam siri Piala Dunia baru-baru ini turut membuktikan pelumba berusia 38 tahun itu masih mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini belum ada pelumba tempatan yang benar-benar mampu merapatkan jurang prestasi dengan Azizulhasni untuk mengambil alih peranan sebagai sandaran negara dalam acara pecut trek.
Namun Pekan mengakui penilaian terhadap masa depan Azizulhasni perlu dilihat secara realistik memandangkan faktor usia serta cabaran daripada pelumba generasi baharu di pentas antarabangsa.
Azizulhasni mampu sumbang pingat di Sukan Asia