PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) enggan duduk diam dengan segala dakwaan dan fitnah yang direka oleh sesetengah pihak semata-mata untuk memburukkan nama dan reputasi badan induk itu.
“Tuduhan ini amat serius, saya akan mengambil tindakan undang-undang atas tuduhan ini, supaya menjadi pengajaran kepada kita semua.
“Petang ini saya akan membuat laporan polis,” katanya Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan kepada Flash Sukan ketika dihubungi pada Khamis.
Portal ini melaporkan seorang pemain sepak takraw negara mendakwa pihak tertinggi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengarahkan supaya memboikot dan mensabotaj Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok, baru-baru ini.
Dakwaan itu didedahkan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menerima laporan daripada pegawai skuad kebangsaan yang bersama pasukan di Bangkok.
“Dakwaan tersebut mengatakan saya berjumpa barisan pemain-pemain di Pejabat PSM. Untuk makluman, Pejabat PSM baru siap sepenuhnya minggu lalu.
“Setahu saya, yang panggil semua pemain dalam bilik adalah MSN. Kenapa saya pula dikaitkan ?
“Kalau ada unsur boikot, Macam mana acara double kita jadi Juara,” katanya.
Menurutnya, pemain-pemain negara yang berada di Bangkok, semua tertekan disebabkan mereka akan ditamatkan kontrak dan balik bekerja semula bersama majikan masing-masing selepas berakhir Piala Raja Thai.
“Akhirnya, saya dapat penjelasan KP MSN, mereka diberi cuti dahulu sebelum rombakan dan kontrak baru.
“Saya adakan zoom meeting bersama semua pemain-pemain di Bangkok sehari sebelum kejohanan bermula. Saya dah jelaskan masalah kontrak pada semua pemain melalui zoom meeting.
“Arahan saya sangat jelas, fokus kepada Kejohanan Kings Cup, lupakan seketika masalah yang ada, tunjukkan kesungguhan dan anda semua membawa bendera Malaysia dan mewakili negara.
“Pegawai MSN, Ahmad Akmal Zainudin ada bersama-sama dalam zoom meeting tersebut,”ujarnya lagi.