PERTEMUAN aksi Liga Super antara PDRM FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Khamis bakal menyaksikan kedua-dua pasukan ingin mencatat kemenangan bagu memperbaiki kedudukan dalam liga.

Pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz berpuas hati dengan persiapan pasukan dengan keadaan dalam bilik persalinan juga berkeadaan baik dan dia mahu para pemainnya kekal fokus kerana Negeri Sembilan adalah sebuah pasukan yang bagus meskipun tanpa kelibat pemain import.

Azzmi juga mengakui pasukan bimbingannya masih kurang tajam dihadapan gol dan dia mahu para pemainnya menterjemahkan semua percubaan kepada jaringan jika mahu terus memberikan cabaran buat pasukan di pertengahan liga.

“Persiapan kami berjalan lancar dan suasana pasukan juga dalam keadaan yang baik. Jika kita melihat pada kedudukan liga selepas 10 perlawanan, PDRM melakukan tugas yang baik kerana dibezakan dengan jurang yang sangat kecil jika dibandingkan dengan pasukan lain.

“Kita tahu Negeri Sembilan adalah pasukan yang bagus dan ini terbukti apabila mereka berjaya menewaskan Kuala Lumpur City tanpa kelibat Herold Goulon dan Casagrande sementara kami kehilangan James yang digantung perlawanan kerana mendapat kad merah pada perlawanan lepas.

“Apa yang penting, saya harap pemain boleh tingkatkan fokus mereka hingga ke penghujung permainan dan menyempurnakan peluang yang ada kerana saya akui kami kurang tajam di hadapan gol,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

 

Sementara itu pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan yang masih segar dengan kemenangan keatas KL City pada Ahad akan mengekalkan taktikal yang sama dan berkemungkinan memberi peluang buat peledak utama, Casagrande untuk memulakan permainan.

“Kita akan gunakan taktikal yang sama atau mungkin sedikit berubah kerana bermain di tempat lawan tetapi kami akan kekalkan bek bertiga dan Casagrande mungkin boleh diturunkan cuma bergantung pada kecergasannya sama ada dia mampu bemain 90 minit atau sebaliknya,” jelas Devan.

Kemenangan akan memberikan The Cops mata ke-13 sekaligus menyamai mata Negeri Sembilan yang kini ditangga kesembilan liga dan Skuad Jang pula akan melonjak ke tangga keenam liga sekiranya berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Kelana Jaya.