KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari gembira apabila pasukannya kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan FC, 3-0 dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu.

Pengendali Argentina itu juga berpuas hati kerana idea asal mereka untuk merehatkan beberapa pemain utama dapat dilakukan apabila berjaya mendahului dengan selesa pada separuh masa pertama.

“Perlawanan ini penting selepas seri dengan Kedah dan peluang buat kami untuk kembali beraksi seperti biasa selepas berkerja keras sepanjang dua minggu meskipun tanpa ramai tonggak yang mewakili skuad kebangsaan.

Namun ini bukan alasan dan akhirnya kami beraksi baik terutama pada babak pertama dengan mencipta peluang serta jaringkan tiga gol tanpa bolos. Saya gembira dengan keadaan ini dan tidak sabar untuk perlawanan akan datang iaitu perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

“Ideanya adalah untuk mengambil kesempatan pada babak pertama agar kami berpeluang rehatkan pemain terutama yang bersama skuad kebangsaan kerana ianya penting untuk memberi mereka rehat dan pulih dari keletihan akibat perjalanan yang jauh.

“Tetapi pada akhirnya kami tetap berjaya mengawal permainan dan berharap pemain yang tercedera cepat sembuh dan membantu kami dalam perlawanan seterusnya kerana kami sedar lawan kami selepas ini sangat berbeza,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari turut memuji sikap Arif Aiman yang tetap mahu diturunkan meskipun dalam keadaan keletihan dan dia percaya pemain paling bernilai itu bakal menggegarkan pentas ACL musim ini.

“Bagi saya Arif sentiasa bagus ketika latihan. Hari ini dia penat tetapi dia tetap mahu bermain dan berjaya jaringkan gol serta mencipta peluang. Dia mahu menyambung permainan tetapi saya membuat keputusan untuk merehatkannya supaya dia pulih sepenuhnya untuk perlawanan seterusnya,” jelasnya.

JDT juga menerima perkhabaran baik menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC apabila Syamer Kutty Abba sudah pulih dari kecederaan manakala Diogo sudah mula menjalani latihan dan Fernando Forestieri juga sudah kembali dari rawatan susulan di luar negara.

“Syamer sudah kembali dalam pasukan dan Diogo juga sudah kembali menyertai latihan tetapi masih memerlukan masa untuk mendapat kecergasan manakala Forestieri juga sudah kembali dari rawatan di luar negara dan perlu diuji pasukan perubatan terlebih dahulu kami dan berharap dapat gunakan dia segera kerana dia sangat penting buat kami,” tambahnya.

Dua jaringan Bergson Da Silva dan satu daripada Arif Aiman cukup untuk memberikan kelebihan selesa buat Harimau Selatan menjelang aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim yang dijadualkan pada 23 September nanti.