BERBAKI kurang lima bulan untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, belum ada bayangan yang boleh menyatakan atlet badminton negara mampu menuai pingat di temasya sukan terbesar dunia itu, setakat ini.

Paling hampir memiliki peluang melakukannya, hanyalah pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Perkara itu diakui pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sendiri, selepas menilai pencapaian dan prestasi atlet di bawah pemantauan beliau setiap kali menyertai kejohanan.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu meningkatkan kesungguhan dan keyakinan.

“Kalau dibicarakan sekarang, sebagai jurulatih kami mahukan setiap pemain yang beraksi di Olimpik membawa pulang pingat tetapi ketika ini, saya belum nampak.

“Dari segi keyakinan pemain untuk berjuang merebut pingat di Olimpik belum lagi terutamanya pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan juga Chen Tang Jie-Toh Ee Wei,” kata Rexy ketika ditemui.

Menurutnya, biarpun beregu wanita dan campuran terbaik negara itu berada dalam program Road to Gold (RTG), kekurangan pengalaman beraksi di pentas tertinggi juga bakal menjadi penentu untuk mana-mana pemain berjuang merebut pingat di Paris.

Pearly Tan-M Thinaah memerlukan latihan memperkuat fizikal. -Rexy Mainaky

Namun, beliau tetap menaruh keyakinan kepada dua gandingan terbabit dan bersama barisan jurulatih akan meningkatkan prestasi, menjelang Temasya Paris 2024.

“Paris bakal menjadi Olimpik pertama buat Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei… ya saya mengharapkan mereka layak ke temasya itu dan situasi itu meningkatkan lagi motivasi mereka sekali gus lebih percaya bahawa mereka adalah medal contender.”

Mengulas lanjut, Rexy berkata, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan persembahan di bawah tahap prestasi sebenar pada dua kejohanan awal Terbuka Malaysia dan India, berbanding kemajuan dicapai pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, Disember lalu.

“Mereka kehilangan sedikit kepercayaan diri dan kita mahu perbaikinya.

“Bagi Pearly-Thinaah pula, tumpuan akan lebih terarah kepada meningkatkan kekuatan fizikal dan strategi untuk kembali ke kelompok Top 10,” tambah Rexy.

Untuk tahun ini, Tang Jie-Ee Wei sekadar singgah di pusingan kedua Terbuka Malaysia dan India, manakala Pearly-Thinaah pula, tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan pusingan kedua Terbuka India.

Aaron-Wooi Yik pula ke suku akhir Terbuka Malaysia dan tersingkir di separuh akhir Terbuka India.