SALURAN media Sepanyol, mendedahkan terdapat kelab Liga Perdana Inggeris yang mengemukakan tawaran bernilai sekitar RM49 juta kepada Alaves untuk mendapatkan pertahanan tengah, Facundo Garcés, pada hari terakhir jendela perpindahan.

Namun, tawaran itu ditolak serta-merta kerana Alaves enggan melepaskan tonggak utama mereka. Pihak kelab percaya kehilangan Garcés bakal meninggalkan jurang besar dalam benteng pertahanan pasukan La Liga tersebut.

Garcés baru-baru ini mencuri tumpuan selepas membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya. Aksi tenang dan disiplin pertahanannya pantas melonjakkan reputasi pemain berusia 24 tahun itu di Eropah.

Sejak menyertai Alaves, Garcés sudah beraksi dalam 10 perlawanan liga. Kehadirannya memberi impak besar apabila pasukan mencatat lima clean sheet dan hanya dibolosi tiga kali sepanjang dia berada di atas padang.

Prestasi konsisten itu menjadikan Garcés antara pertahanan yang semakin mendapat pengiktirafan, malah digelar antara yang terbaik dalam La Liga ketika ini.

Selain itu, Garcés dijangka mengetuai benteng Harimau Malaya menentang Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa malam Khamis.