SKUAD hoki negara memulakan kempen Super Four Kejohanan Piala Asia 2025 dengan langkah bergaya selepas menewaskan China 2-0 di Kompleks Sukan Rajgir, India sebentar tadi.
Selepas menutup peringkat kumpulan dengan rekod bersih tiga kemenangan, anak buah Sarjit Singh meneruskan rentak positif meskipun diasak pada dua suku pertama apabila China memperoleh beberapa pukulan sudut penalti. Namun, ketangkasan Hafizuddin Othman memastikan gawang negara kekal utuh tanpa dibolosi.
Malaysia akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan yang gagal dihalang kemas penjaga gol lawan, Wang Caiyu.

Gol itu menaikkan semangat pasukan negara yang kembali meledak berselang dua minit kemudian hasil gerakan lincah Fitri Saari di dalam kawasan D sebelum hantaran beliau ditolak masuk penyerang berbisa, Akhimullah Anuar Esook.
Jaringan tersebut melengkapkan koleksi ke-10 peribadi Akhimullah setakat ini dengan lapan daripadanya datang melalui jaringan padang, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai mesin gol skuad negara.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia di landasan tepat memburu tiket automatik ke Piala Dunia Hoki 2026 di Belanda yang ditawarkan kepada juara kejohanan.
Namun, cabaran lebih sukar menanti skuad negara yang akan berdepan tuan rumah, India dalam aksi kedua Super Four pada jam 10 malam esok.
FOTO: INDIA HOCKEY