SKUAD hoki remaja lelaki negara bersedia memasuki medan tempur paling mencabar apabila undian Piala Dunia Remaja 2025 menemukan Malaysia dengan tiga gergasi Eropah – Belanda, England dan Austria, namun ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin percaya inilah peluang terbaik pasukannya membuktikan kematangan setelah melalui proses persiapan panjang sejak Mei lalu.

Nor Saiful mengakui realiti perlawanan kumpulan cukup berat, namun meletakkan sasaran jelas dengan tamat sekurang-kurangnya sebagai naib juara kumpulan dan mara ke suku akhir. Beliau menegaskan kemenangan ke atas Austria dan England akan menjadi penentu utama pencapaian itu, selain perlu bijak membaca permainan fizikal dan bervariasi pasukan Eropah.

Realitinya untuk muncul juara kumpulan memang sukar, tetapi sasaran kami ialah menamatkan saingan di tempat kedua dan layak ke suku akhir. Tetapi dengan syarat menewaskan Austria dan England,” katanya pada sidang media pengumuman skuad di Bukit Jalil, semalam.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh terjerat bermain permainan terbuka kerana lawan memiliki kelebihan ketara dari segi satu lawan satu, hantaran berkualiti dan kepantasan menukar strategi.

Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin dalam sidang media pengumuman skuad di Bukit Jalil, semalam.

Sebaliknya, aspek taktikal serta pengurusan kesilapan perlu dibina rapi agar pemain mampu mengimbangi tekanan intensiti tinggi, terutama menjelang aksi berturut-turut pada 29 dan 30 November.

Kita tak boleh lawan mereka secara terbuka. Mereka hebat dari segi ‘one to one’, hantaran dan kepantasan menukar corak permainan. Jadi kita kena bijak dari segi taktikal dan kurangkan kesilapan mudah,” jelasnya.

Saiful menekankan fokus semasa banyak tertumpu kepada ketajaman penyudah, kekentalan bertahan ketika pukulan sudut penalti, serta kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan suhu dan padang di India. Semua aspek itu menjadi kunci mengelakkan pengulangan pencapaian edisi lalu, apabila Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-12.

Dengan reputasi Malaysia yang pernah menamatkan kempen di tempat keempat sebanyak tiga kali – 1979, 1982 dan 2013 – skuad muda negara membawa misi mengembalikan maruah dan menghidupkan kembali memori kegemilangan di pentas dunia. Kini, segala tumpuan terarah kepada tiga perlawanan penting menentang Austria (29 Nov), Belanda (30 Nov) dan England (2 Dis), yang bakal menentukan perjalanan sebenar Malaysia di India.