MENILAI prestasi dan memahami isu pemain, menjadi aspek penting yang akan dipantau legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei selepas dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pengalamannya sebagai pemain berkelas dunia dan pernah membantu program elit sukan, Road to Gold (RTG) amat ditagih dalam memastikan kesinambungan prestasi atlet sehingga Sukan Olimpik 2028.
“Pertama sekali saya mahu bekerjasama dengan barisan kejurulatihan kerana prestasi (pemain) memang perlu dilihat bersama jurulatih. Kita perlu melihat apa masalah mereka dalam kejohanan,” ujarnya yang ditemui selepas Mesyuarat Majlis BAM di Bandar Sunway.

Terdahulu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan pelantikan Chong Wei sebagai Pengerusi Jawatankuasa BAM, berkuatkuasa hari ini, selepas dipersetujui ahli Majlis.
Chong Wei menjadi aspirasi Pelan Tangkis 2030 BAM dalam menyusun semula struktur organisasi dengan mengecilkan jumlah jawatankuasa daripada 14 kepada 10 bagi memastikan pengurusan lebih fokus dan efisien.
“Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai Jawatankuasa Prestasi bagi memastikan pemain negara mencapai tahap optimum dan kekal konsisten di pentas antarabangsa,” katanya.