STATUS dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Nepal pada Mac lalu dan Vietnam pada Jun lalu kini bakal dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA susulan isu kelayakan pemain warisan.

Perlawanan tersebut kini menjadi tanda tanya selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Antara hukuman termasuk penggantungan setahun kepada pemain terbabit serta denda besar terhadap FAM.

Namun, keputusan sama ada kemenangan dan mata yang diraih Malaysia dalam kedua-dua aksi itu kekal atau sebaliknya hanya akan ditentukan oleh FIFA.

Badan bebas itu akan menilai segala bukti sebelum membuat keputusan muktamad yang bakal memberi kesan besar kepada perjalanan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan ke Arab Saudi 2027.

FAM sebelum ini menegaskan mereka telah bertindak dengan penuh ketelusan dan berdasarkan pengesahan rasmi FIFA mengenai kelayakan pemain berkenaan.

Justeru, FAM sudah menyatakan hasrat untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan selain berikrar mempertahankan hak pemain serta pasukan kebangsaan.

Situasi ini sekali lagi mengundang debaran buat penyokong bola sepak tanah air yang kini menanti penuh harapan agar kemenangan di atas padang tidak dirampas akibat isu pentadbiran.

Apa pun, keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bakal menjadi penentu sama ada Harimau Malaya masih berada pada landasan kukuh atau perlu bermula semula dalam misi ke pentas Asia.