HARIMAU Malaya kini berada di landasan terbaik untuk menembusi kelompok 100 terbaik dunia, hasil perancangan rapi dan revolusi berterusan dalam skuad kebangsaan.

Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin percaya projek pembangunan yang digerakkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) mampu melonjakkan ranking negara ke tahap lebih tinggi.

Katanya, kejayaan menaikkan kedudukan daripada tangga ke-178 ke 125 dunia ketika ini, adalah hasil kerjasama semua pihak dan bukti kemajuan skuad negara.


“Kalau semua pihak mainkan peranan, tidak mustahil kita boleh berada dalam kelompok 100 terbaik dalam dua atau tiga tahun lagi,” katanya, ditemui pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024, pada Isnin.

Namun beliau turut mengingatkan bahawa negara lain juga sedang bergerak pantas memperkuatkan pasukan masing-masing, justeru Malaysia tidak boleh leka.

Hamidin mahu penyokong tempatan terus berdiri teguh di belakang Harimau Malaya, agar momentum kecemerlangan ini tidak terhenti separuh jalan.

“Kalau tak berubah dan cari formula baharu, kita boleh jatuh semula,” katanya.