PEMAIN sayap kebangsaan, Nor Hakim Hassan terpaksa melupakan kesedihan berpisah dengan anaknya yang berusia lima tahun kerana dia mempunyai tugasan penting buat negara menghadapi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Hakim juga terharu apabila melihat namanya tersenarai dalam skuad kebangsaan buat kali pertama dan berterima kasih kepada jurulatih kerana mempercayai bakatnya untuk membantu skuad Harimau Malaya.
“Anak saya sedih kerana terpaksa berjauhan dalam tempoh masa yang lama. Sebelum ini tiga minggu dan kini ditambah lagi mungkin sebulan. Walaupun dia baru berusia lima tahun tetapi dia sudah memahami namun saya perlu berkorban demi negara.
“Saya terharu apabila melihat nama saya disenaraikan dalam senarai akhir 23 pemain dan berterima kasih kepada jurulatih Kim Pan Gon kerana percaya kepada saya.
“Empat rakan lain yang tidak terpilih bukanlah pemain yang tidak bagus tetapi kerana semua pemain menunjukkan kesungguhan mereka dan sukar buat jurulatih untuk membuat keputusan.
“Saya akan bersaing bersama-sama Ruventhiran di posisi saya dan siapa pun yang diberi peluang beraksi akan lakukan yang terbaik dan siapa yang bermain segalanya ditentukan oleh jurulatih,” katanya yang terpilih buat kali pertama ke Piala AFF.
Hakim yang diberikan peluang beraksi pada babak kedua ketika bertemu Maldives pada Rabu masih belum berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan dan berjanji akan memperbaiki segala kelemahan menjelang perlawanan pembukaan Piala AFF menentang Myanmar pada 21 Disember 2022.