SEBARANG ruang kecil yang mampu memberi kelebihan kepada pemain beregu lelaki negara, akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam misi memburu kejuaraan dunia.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, di fasa akhir persiapan, kem badminton negara bergantung kepada analisis video, memperbetul kelemahan anak didiknya dan menerobos kelemahan pemain lawan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tonggak utama beregu lelaki, memburu gelaran dunia kedua selepas menang pada 2022.
Malaysia mempertaruh empat beregu lelaki di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, termasuk satu pasangan profesional, mula mengurangkan intensiti fizikal sebaliknya fokus meneliti kekuatan serta kelemahan lawan sambil memperkemas taktikal sendiri.
“Persaingan beregu lelaki kini sangat sengit, jurangnya terlalu kecil,” kata Herry selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Siapa yang lebih bersedia dan bijak merebut peluang pada hari perlawanan akan menang, sebab itu analisis video amat penting untuk tahu di mana kita kuat, lemah dan bagaimana lawan bermain.”

Man Wei Chong-Tee Kai Wun berpotensi mencuri satu slot separuh akhir Kejohanan Dunia menerusi undian atas.
Herry menjelaskan beliau dan barisan kejurulatihan menggunakan rakaman kejohanan terkini seperti Terbuka Jepun dan China sebagai rujukan kerana prestasi pemain boleh berubah dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Pendekatan itu turut digunakan untuk pasangan nombor tujuh dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang dijangka bertemu gandingan nombor satu dunia dari Korea, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di suku akhir.

Arif diharap sempat kembali ke tahap lecergasan terbaik untuk mencipta kejutan bersama Roy King.
Walaupun belum pernah menewaskan pasangan Korea itu dalam dua pertemuan, Wei Chong-Kai Wun mendapat suntikan semangat selepas berjaya mencuri satu set pada Terbuka Jepun bulan lalu hasil analisis video perlawanan.
Namun, Herry menegaskan beregu nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi sandaran utama negara tetap tidak boleh memandang rendah lawan kerana semua gandingan dari Korea, Indonesia, China dan Denmark amat kuat serta jurangnya terlalu tipis.