ARIF Junaidi berharap episod kecederaan yang membelenggu pasangan beregu lelakinya, Yap Roy King, segera berakhir bagi memastikan persiapan mereka ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 pada Februari depan di Qingdao, China, dapat berjalan sempurna.
Pemain beregu lelaki negara itu mengakui keputusan menarik diri daripada Indonesia Masters dibuat demi mengelakkan kecederaan Roy King menjadi lebih serius, sekali gus memberi fokus penuh kepada BATC.
“Untuk BATC saya tak tahu lagi sebab kena tengok keadaan pasangan saya, sebab itu kami tarik diri daripada Indonesia Masters kerana takut kalau main kecederaan dia jadi lebih teruk,” kata Arif, ditemui di Akademi Badminron Malaysia (ABM).
Menurut Arif, Roy King sekali lagi menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) untuk pengesahan lanjut termasuk imbasan, sebelum keputusan dibuat sama ada dia boleh kembali berlatih dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai BATC, Arif menganggap kejohanan itu sebagai platform penting untuk mengutip pengalaman, apatah lagi kemungkinan mereka beraksi sebagai beregu utama berdasarkan ranking.
“Saya tengok pasukan lain semua hantar pasukan utama, jadi kalau jumpa pasukan teratas kami cuma mahu buat yang terbaik dan berikan apa yang kami ada,” katanya.
Arif turut melihat kombinasi skuad yang dibarisi pemain junior dan senior sebagai skuad simpanan yang perlu mempamerkan semangat sepasukan serta memberi tentangan walaupun berdepan kekalahan.
“BAM sudah beri kepercayaan kepada kami sebagai pasukan kedua, jadi walaupun kalah, biarlah kalah bermaruah dan bukan kalah kosong,” kata Arif.
Pasukan lelaki negara diundi dalam kumpulan D bersama pilihan kedua, Indonesia dan Myanmar dengan dua pasukan dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Sejak kejohanan itu diperkenalkan, pasukan lelaki negara muncul juara sekali dan dua kali naib juara.