ANDALAH gaya, mutu, keunggulan! Itulah ungkapan penuh semangat legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei selepas melihat kejayaan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Dunia 2025 di Paris.
Chong Wei menyifatkan detik bersejarah itu sebagai mercu tanda baharu badminton Malaysia yang mengangkat maruah negara di persada antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan Tang Jie-Ee Wei menjulang kejuaraan dunia dengan menewaskan pilihan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, menjadi hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Semangat juang tanpa putus asa dan keyakinan mereka di gelanggang benar-benar membakar inspirasi untuk kita semua, andalah gaya, mutu, keunggulan!” tulis Chong Wei di Facebook.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Pearly-Thinaah yang melakar sejarah mara ke final sebelum membawa pulang pingat perak menentang Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.
“Tahniah kepada Pearly dan Thinaah atas pencapaian hebat meraih pingat perak Kejohanan Dunia, anda berdua telah menawan hati seluruh negara dan memukau dunia badminton,” katanya.
Kejayaan berganda itu mencatat sejarah apabila Tang Jie-Ee Wei menjadi beregu campuran pertama Malaysia bergelar juara dunia, manakala Pearly-Thinaah pula beregu wanita pertama negara menjejakkan kaki ke pentas final dunia.