PENJAGA gol Real Zaragoza, Esteban Andrada, berdepan kemungkinan penggantungan panjang selepas insiden menumbuk pemain lawan dalam aksi divisyen kedua Sepanyol, sekali gus mencetuskan kekecohan di atas padang.
Dalam perlawanan menentang SD Huesca, Andrada terlebih dahulu dilayangkan kad merah sebelum hilang kawalan apabila berlari ke arah pemain lawan, Jorge Pulido, dan menumbuknya dalam masa kecederaan.
Insiden itu mencetuskan pergaduhan melibatkan beberapa pemain, dengan penjaga gol Huesca, Dani Jimenez, serta pemain Zaragoza, Dani Tasende, turut dibuang padang susulan kekecohan tersebut.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak kepada Huesca, namun tumpuan terarah kepada insiden panas yang berlaku di penghujung aksi.
Andrada, yang kini beraksi secara pinjaman daripada kelab Mexico, CF Monterrey, berdepan hukuman berat yang boleh mencecah sehingga 12 perlawanan selain penggantungan automatik satu perlawanan susulan kad merah yang diterimanya.
Dalam kenyataan rasmi, Zaragoza mengakui insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menjejaskan imej perlawanan penting itu.
Kelab berkenaan turut menegaskan akan meneliti kejadian terbabit sebelum mengambil tindakan disiplin sewajarnya terhadap pemain berkenaan.
Kedua-dua pasukan ketika ini berada dalam kelompok bawahan liga dan sedang berjuang untuk mengelak penyingkiran ke divisyen lebih rendah, menjadikan perlawanan tersebut cukup penting buat kedua-dua pihak.
Sumber Gambar: FB Real Zaragoza