Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membayangkan hasrat untuk membida hak penganjuran Kejohanan Dunia selepas kejayaan menganjurkan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai yang melabuhkan tirai semalam.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan penganjuran kejohanan bertaraf tinggi itu sebagai bukti keupayaan Malaysia mengendalikan acara berprestij dengan standard antarabangsa.

Menurut beliau, kejayaan tersebut membuka ruang kepada perancangan lebih besar, termasuk membawa kejohanan dunia ke negara ini pada masa akan datang.

Bagaimanapun, sebarang langkah ke arah bidaan rasmi perlu melalui perbincangan di peringkat jawatankuasa eksekutif PKBM serta mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill (Sumber Gambar: FB Datuk Amarjit Singh Gill)

Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memaklumkan bahawa peluang terdekat untuk membida adalah bagi edisi 2029 atau 2030 memandangkan hak penganjuran sehingga 2028 telah pun ditentukan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kos penganjuran acara trek adalah lebih rendah berbanding perlumbaan lebuh raya, sekali gus menjadikannya lebih realistik untuk dianjurkan di Malaysia.

Sepanjang tiga hari penganjuran di Nilai, kejohanan tersebut menghimpunkan pelumba elit dari lebih 40 negara dan menjadi penutup bagi siri perlumbaan selepas Perth dan Hong Kong.

Malaysia turut mencuri tumpuan apabila Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki, selain memenangi emas dalam acara keirin sehari sebelumnya.

Dalam acara pecut individu, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen muncul juara selepas menewaskan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago.

Kejohanan edisi kali ini juga menandakan kembalinya Malaysia sebagai tuan rumah selepas kali terakhir melaksanakannya kira-kira 25 tahun lalu.

Sumber Gambar: IG PKBM