ERA baharu badminton dunia bakal bermula apabila Badminton World Federation secara rasmi meluluskan penggunaan sistem kiraan mata 3×15 bermula tahun hadapan, satu perubahan besar yang dijangka mengubah tempo dan corak permainan sukan itu.

Keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Tahunan BWF ke-87 itu bukan sahaja mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan pemain, malah dianggap sebagai usaha agresif badan dunia tersebut untuk menjadikan badminton lebih pantas, dramatik dan mesra penonton moden. 

Berbeza dengan sistem tradisional 3×21 yang digunakan sejak hampir dua dekad lalu, format baharu ini dijangka menghadirkan tekanan lebih awal kepada pemain kerana setiap mata bakal memberi impak besar terhadap keputusan perlawanan. 

Presiden BWF, Khunying Patama Leeswadtrakul menyifatkan perubahan tersebut sebagai langkah penting untuk memastikan badminton terus berkembang dan kekal relevan dalam era yang semakin kompetitif.   

Menurut beliau, sistem 3×15 mampu menghasilkan perlawanan yang lebih padat dan konsisten dari segi tempoh masa, selain membantu pemain dari aspek pemulihan fizikal dan pengurusan jadual kejohanan.

Namun begitu, keputusan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada identiti sebenar badminton akan berubah selepas bertahun-tahun peminat sudah terbiasa dengan format 21 mata. 

BWF bagaimanapun memberi jaminan bahawa elemen utama badminton seperti kemahiran, taktikal dan intensiti permainan tetap akan kekal, malah percaya sistem baharu itu mampu menjadikan setiap rallyi lebih mendebarkan. 

Perubahan ini juga dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk menarik lebih ramai penonton muda serta memastikan badminton mampu bersaing dengan sukan global lain dari sudut hiburan dan penyiaran. 

Sistem baharu itu akan mula dilaksanakan secara rasmi pada 4 Januari 2027, dengan BWF kini bersedia memulakan proses peralihan bersama pemain, jurulatih dan semua ahli gabungan di seluruh dunia. 

Dalam perkembangan sama, bekas Presiden BWF, Poul-Erik Høyer turut menerima penghormatan apabila dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF atas sumbangannya terhadap pembangunan badminton antarabangsa.