KERJA-KERJA pembinaan penambahan tempat duduk di stadium Anfield giat dijalankan sejak pertengahan tahun 2021 dan berjalan lancar setakat ini serta menggembirakan hati para penyokong.
Bagaimanapun, kerja-kerja ini masih panjang untuk disempurnakan kerana ianya juga bakal melibatkan kerja-kerja pengindahan di kawasan luar dan sekitar stadium itu.
Beberapa isu perancangan ditambah dengan pandemik Covid-19 telah menangguhkan kerja-kerja ini namun pada Jun 2021, Pihak Berkuasa Bandar Liverpool telah memberikan lampu hijau untuk kerja penambahan ‘Anfield Road Stand’ kepada 7,000 lagi tempat duduk.
Berbeza dengan pelan asal yang menjangkakan hanya tambahan 5,000 tempat duduk, kawasan ini akan dibuka kepada penyokong awal musim hadapan jika tidak berlaku sebarang kelewatan yang tidak dijangka.
Berdasarkan beberapa gambar yang sedang menunjukkan progres kerja, ianya kelihatan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Apabila siap, bahagian tempat duduk yang menelan kos £59 juta ini akan meningkatkan kapasiti Anfield kepada 61,000 penyokong.
Ianya sekaligus menjadikan Anfield stadium kelima terbesar di England dan ketiga terbesar dalam Liga Perdana Inggeris selepas stadium Manchester United, Old Trafford dan Stadium Tottenham Hotspur di Utara London.
Jumlah keseluruhan kos projek ini dijangka sekitar £80 juta dan dijangka siap sepenuhnya sebelum musim 2023/24 bermula pada Ogos 2023.
Selain itu, syarikat konsultan JLL, LDA Design dan SPACED telah dipilih untuk membangunkan plot tanah yang tidak digunakan bersebelahan stadium itu. Tapak Dataran Anfield sebesar 2.5 ekar itu telah dikenalpasti mempunyai peluang untuk dibangunkan bagi menjana ekonomi di kawasan tersebut.
Tapak itu yang sebelum ini menempatkan 150 buah rumah teres yang dirobohkan pada 2016 bagi memberi laluan pembinaan grandstand utama kini bakal dibangunkan menjadi projek Dataran Anfield yang bakal menempatkan 600 rumah baharu dan 600 rumah yang diubahsuai, sebuah sekolah dan lot kedai.
Projek yang bernilai £260 juta itu dijangka dapat menjana ekonomi tambahan buat daerah Anfield dan Everton kerana ianya bakal menjadi tarikan terbaharu selain stadium yang menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak seluruh dunia.